Hafizh makin pantas pada hari kedua
trendingbergaya.blogspot.com - KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah menunjukkan peningkatan pada hari kedua sesi ujian MotoGP bersama Monster Yamaha Tech 3 di Buriram, hari ini.
Hafizh menamatkan sesi hari ini di tangga ke-23 apabila mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 31.998 saat iaitu 2.029 saat di belakang penunggang Honda, Marc Marquez yang mengungguli dengan catatan 1:29.969s.
Penunggang berusia 23 tahun itu yang semalam ketinggalan 2.368s di belakang pendahulu Cal Crutchlow, berkata dia sudah mendapat keserasian dengan pasukan.
"Saya kurang dua saat di belakang penunggang terpantas sehingga Marquez melakukannya tetapi saya rasa ia masih peningkatan yang bagus buat saya," kata Hafizh.
"Saya sentiasa menunggang jentera bersendirian dan tidak pernah mengikut sesiapa kerana saya mahu banyak belajar. Pasukan memberikan maklum balas dan nasihat yang bagus, saya dapat rasakan hubungan yang baik yang membolehkan kami menerangkan sesuatu perkara dengan lebih baik.
"Ini membantu saya meningkat dengan cepat. Saya akan terus mengambil langkah demi langkah dan belajar sebanyak mungkin esok. Banyak peralatan elektronik (pada MotoGP) yang perlu saya fahami dan biasakan diri."
Hafizh, yang menghabiskan empat musim dalam Moto2, berkata dia percaya kerja keras dalam latihan fizikal dibuatnya ketika rehat musim sejuk banyak membantunya berubah ke kelab perdana perlumbaan motosikal terhebat dunia itu.
sumber : bharian.com.my
0 Response to "Hafizh makin pantas pada hari kedua"
Posting Komentar