Fahmi Reza dipenjara sebulan
trendingbergaya.blogspot.com - Selepas beberapa kali keputusan tertangguh, Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, menjatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 terhadap pereka grafik yang didapati bersalah atas tuduhan memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, diperintahkan menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mendapati tertuduh bersalah.
Norashima bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penggantungan hukuman dan melanjutkan jaminan bagi tujuan rayuan di Mahkamah Tinggi, namun meningkatkan jaminan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria dan Nazrul Nizam Zameri yang mengemukakan tujuh saksi pendakwaan manakala Syahredzan Johan mewakili Mohd Fahmi Reza yang memilih untuk memberi keterangan bersumpah dalam kandang saksi.
Pihak pembelaan dalam rayuan memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda maksimum RM10,000 berdasarkan faktor mitigasi iaitu antaranya kesalahan dilakukan adalah kesalahan pertama yang tidak serius dan tiada mudarat berpanjangan kepada mana-mana pihak.
Hukuman denda itu dianggap bersesuaian dengan pendapatan Mohd Fahmi Reza sebagai pereka grafik sebanyak kira-kira RM2,000 sebulan.
Mohd Sophian dalam hujahnya membantah cadangan hukuman pihak pembelaan itu dan berpendapat mahkamah tidak boleh bersimpati dengan tertuduh kerana sebelum melakukan kesalahan itu Mohd Fahmi Reza sedar akan kesan perbuatan yang dilakukan.
Pihak pendakwaan berpendapat hukuman denda hanya bersesuaian jika tertuduh mengaku bersalah namun kes berkenaan membabitkan perbicaraan penuh bermula dari pendakwaan pada 10 Jun 2016. Pendakwaan juga memaklumkan kesalahan membabitkan fitnah, penghinaan, penyebaran berita palsu di Internet kerap berulang dan jadi ikutan ketika ini yang memerlukan mahkamah mengenakan hukuman tegas supaya menjadi iktibar kepada masyarakat.
Pada 10 Jun 2016, Mohd Fahmi Reza didakwa di mahkamah berkenaan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu karikatur badut menyerupai pemimpin negara pada 8 Februari 2016, jam 12.31 tengah hari menggunakan perkhidmatan Facebook secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perkara itu dibaca oleh Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abd Rahman Seraya Sdn Bhd, Batu 3 Jelapang, Ipoh pada jam 2.40 petang, 8 Februari 2016.
Pada 4 Januari lalu, tertuduh diarah membela diri bagi pertuduhan itu selepas Norashima mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Mohd Fahmi Reza diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.
Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi dan kes kemudian diteruskan dengan perbicaraan sebelum tarikh 30 Januari lalu ditetapkan untuk keputusan kes namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan hakim cuti sakit dan peguam mengerjakan umrah.
0 Response to "Fahmi Reza dipenjara sebulan"
Posting Komentar